Pages

Tuesday 28 July 2015

Sangat sangat

Terima kasih sangat-sangat
datang mengenali
walau sebagai teman

Mungkin Tuhan susun cerita satu-satu?

secara perlahan?

untuk aku fikirkan sendiri
dan terima kekuatan

terima kasih
sangat

Friday 24 July 2015

Airport

Benarlah, 

lapangan terbang selalu menyaksikan,
pelukan dan lambaian yang penuh ikhlas.


Entah mana yang lebih sakit, 
yang meninggalkan atau ditinggalkan.


Moga Tuhan tetap genggam hati kita,
bersama, seutuhnya.


Macamana rasanya,
menjadi saksi,
sebuah pertemuan,
dan sebuah perpisahan?




p/s: hantar kakak balik Sarawak, err bakal rindu. hmm.

Tuesday 21 July 2015

Kanta berwarna cerah

Aku pernah cuba, baru sekali. 

Best, macam ada dunia baru tanpa cermin mata. 
Ibarat boleh berlari bebas riang mengejar rama-rama sambil ketawa-ketawa gembira tanpa ada kekaburan dalam perjalanan dan penglihatan. 

Tapi, ianya tidak lama. 
Aku kembali kepada cermin mata dan memilihnya. 

Kerana, hanya satu, penakut. 

Mujurlah aku tidak obses.

Cerita Orkid : Dua

Memandang sekilas tidak mahu merenung lama. Surat dari Ad, Orkid letakkan di tepi mejanya.

"Kenapa.. baru sekarang kau cari aku.."

Orkid pening memikirkan. Terganggu perasaannya. Kalau boleh, dia mahu membuang perasaan ini jauh-jauh. Dia tidak mahu jatuh cinta kali kedua! Ya, jatuh cinta! Dia tidak mahu jatuh cinta dengan sesiapa yang tidak tahu menjaganya sebagai wanita. Orkid mengambil wudhu, memohon pergantungan sepenuh kepada Allah. Dia punya Tuhan, tempat segalanya dicurahkan. Tempat segala cinta yang hakiki, cinta yang tidak mengecewakan.

Lima tahun yang lalu...

Bercucuran manik-manik jernih di pipi Orkid. Kasihan. Rasa terseksa jika ada yang memahaminya. Ujian perasaan adalah ujian berat dalam hidupnya. Dari perasaan, ianya akan mempengaruhi seluruhnya.

Lama Orkid menunggu berita Adli. Dengan harapan Adli akan memberikan kata pujukan dan maaf kepadanya. Angin rindu turut membisikkan penyeksaan bersama. Benarlah kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Orkid terseksa menunggu. Kerap dia melihat telefon bimbitnya. Dibacanya berulangkali mesej-mesej lama yang masih belum dipadam, tersenyum sendiri dan semakin resah. Orkid banyak termenung, makan cuma sekadar yang perlu. Ayahnya, Encik Kert memerhatikan perubahan anak gadisnya itu. Sudah tidak ceria seperti dahulu, jarang bergurau senda dengannya. Senyum cuma sekerat. Selalu bersendirian menulis entah apa di buku catatannya. Secara tidak sengaja ayahnya membaca buku catatan anak gadisnya dan tahulah sebab kenapa Orkid berkelakuan sedemikian. Maka, dengan alternatif Encik Kert sendiri, beliau membawa anak gadisnya itu ke sebuah kedai buku lama. Kedai yang sarat dengan cerpen-cerpen dan puisi-puisi lama. "Kedai Lama Pak Lim".

"Ayah, kita buat apa di sini?" Tanya Orkid.

"Saja ayah bawa jalan-jalan. Pilihlah buku yang Orkid suka, ayah tunggu di kafe sebelah ni." Senyum Encik Kert.

Orkid turun dari kereta dan memerhati kedai buku lama itu. Klasik. Itulah gambarannya. Dengan suasananya tenang suram ala-ala cerita fiksyen Harry Potter ketika membeli tongkat saktinya. Menarik buat Orkid. Dengan bau buku-buku lama dan baru, yang lebih kepada buku-buku berkisar jiwa dan kehidupan, buku puisi, yang terbaru zine puisi dari jiwa-jiwa muda yang berbakat. Orkid menarik sebuah zine yang bertajuk, "Champak". Meneliti puisi di dalam hasil karya 13 orang pelajar wanita Malaysia yang belajar di Beijing.

-

CHAMPAK : PEREMPUAN YANG DIMILIKI SUNYI

aku setia menunggu
pada siapa yang sudikan aku
aku bukan manusia memilih
mahu paling cuma mahu membimbing

aku paling tidak suka didengar tentang cinta tidak suci
atau apa-apa berkaitan jodoh
ah! perangai hodoh
semuanya menyemakkan
kita jangan terlalu sibuk
akan hal Tuhan yang lebih hebat merancang
tapi sedarlah aku
aku juga sering menulis tentang ia
kau perempuan, tak malu?
kalaupun kau perempuan dimiliki sunyi
sedar kau Tuhan Maha Memerhati?
tak kira di masa sunyi
tak kira di masa riuh
Dia selalu saja ada
kau saja yang selalu lupa

tapi bagaimana boleh menafi
ada masa dan ketika diri rindu.
pada yang diketahui siapa.
Tuhan, dengar aku kan?

aku selalu peringat diri.
letak cinta Tuhan cuma.
cinta manusia biar sampai masanya.

-

Supp. Bagai renjatan elektrik menyusup masuk. Sentap. Airmata Orkid mahu tumpah lagi. Terkena dirinya puisi itu. Tergigit perasaan sendiri.

"Assalammualaikum. Orkid.."

Orkid menoleh kebelakang memandang figura jasad yang menyebut namanya. Seorang pakcik tua yang biasa.

"Err.. Waalaikumussalam. Pakcik siapa?" Tanya Orkid cepat-cepat menyembunyikan manik jernih di matanya.

"Pakcik kawan ayah kamu. Ini kedai pakcik. Panggil Pak Lim. Bagus bukunya? Itu buku yang ditulis oleh anak-anak Malaysia di Beijing. Pakcik kira, orang yang suka puisi ini berbeza sebenarnya. Pemahamannya berbeza dari yang lain. Dia ada jiwa yang sangat menyentuh. Cepat tersentuh. Berkawan dengan alam, belajar dari alam. Itulah dia. Hingga kadang, orang akan merasakan itu sendirian, sedangkan, dari puisi kita boleh kenal diri kita sendiri. Paling penting, kenal Tuhan." Jelas Pak Lim.

"Iya pakcik.. Saya minta diri jumpa ayah dulu." Kata Orkid sambil mahu mengembalikan buku di tangannya itu ke tempat asal.

"Tidak mengapa, Orkid pinjam dulu." Senyum Pak Lim.

Orkid berlalu bertemu ayahnya di kafe sebelah. Hatinya berbunyi satu irama untuk bangkit dari kekecewaan hasil dari puisi yang dibacanya tadi. Sentap dan bangkit!

"Sudah jumpa buku? Bagi Orkid Kedai Pak Lim macamana?" Tanya ayahnya..

Beberapa hari kemudian, kerapkali Orkid ke kedai Pak Lim. Mengisi masa yang ada. Dia suka bau buku-buku lama. Kadangkala pelanggan akan menyangka bahawa Orkid merupakan pekerja Pak Lim, tapi bukan. Orkid menyibukkan dirinya sebagai salah satu cara untuk melupakan kisahnya yang mengguris hati.

(Bersambung)

Saturday 18 July 2015

Ke mana perginya kau.

Kali ini aku mahu kembali. 

Disini. 

Sudah aku katakan dahulu, aku mahu belajar men-diam, dan kelak mungkin datang meng-ikhlas.

Friday 17 July 2015

Ini entri untuk Lebaran.

Assalammualaikum.

Salam Lebaran dari saya. InshaAllah. Saya memohon maaf dari segala kepincangan diri saya atau mungkin kefuturan dalam tutur kata dan tingkahlaku, halal semua dan mari kita bersama menjaga ukhwah.

Lebaran kali ini, aku hanya gembira. Pertamanya, panjatkan kesyukuran kepada Allah, Tuhan semesta alam. Kita masih diberi kesempatan untuk bernafas dan merasai nikmat Tuhan yang sangat banyak.